Menurut sesetengah ulama, Nabi Adam dan  isterinya Hawa dikurniakan Allah dengan anak ramai . Dikatakan mereka  mempunyai 120 orang putera puteri . Setiap kali Siti Hawa melahirkan  anak pasti akan dikurniakan anak kembar iaitu seorang lelaki dan seorang  perempuan  . Menurut peraturan dan syariat Nabi Adam seperti yang  dikehendaki Allah , putera puterinya akan dijodohkan  antara satu sama  lain .
Kembar pertama yang dilahirkan oleh Siti  Hawa ialah Qabil dan Iklima. Kembar keduanya ialah Habil dan Labuda .  Adik Qabil iaitu  Iklima mempunyai rupa paras yang cantik jelita .  Namun,  Labuda tidak mempunyai rupa paras yang cantik seperti kakaknya .
Setelah  putera puteri baginda meningkat dewasa , Nabi Adam mendapat satu wahyu  yang sangat penting dari Allah . Menurut wahyu tersebut Allah  memerintahkan Nabi Adam menjodohkan putera puterinya secara berselang  seli . Ini bermakna Qabil mestilah berkahwin dengan Labuda dan Habil  pula berkahwin dengan Iklima. Setelah menerima wahyu itu Nabi Adam  segera memberitahu putera puterinya .
Namun puteranya Qabil tidak bersetuju dan terus membantah seraya berkata “Ayah!  aku tidak bersetuju dengan keputusan  ayah. Akulah yang berhak  berkahwin dengan Iklima kerana dia lahir bersama-sama dengan ku”. Qabil membantah kerana  cemburu dengan terhadap adiknya, Habil. Setelah abangnya diam , Habil pula berkata “ Ayah! Aku serahkan perkara ini kepada Allah jika demikian perintah Allah” . Kata-kata Habil ini membuatkan abangnya itu bertambah marah . 
Nabi Adam diam mendengarkan kata anaknya itu . Tapi Qabil terus membantah sambil berkata “Tidak ayah..aku tetap tidak bersetuju…kalau ayah meneruskan juga beerti ayah mengasihi Habil dan membenciku”. Nabi  Adam merasa serba salah dalam menghadapi masaalah menjodohkan anaknya .  Setelah berfikir panjang , Nabi Adam pun memberi cadangan “ Wahai  putera-puteraku..kamu berdualah pergi minta keputusan dari Allah dengan  membawa korban mu masing-masing . Barang siapa korbannya diterima Allah ,  maka dia lah yang benar ”
Pada keesokan  harinya kedua-dua putera Nabi Adam itu segera pergi ke tempat yang Nabi  Adam sering sujud kepada Allah . Qabil membawa  sehidang buah-buahan dan  tanam-tanamannya yang rosak dan busuk sesuai pekerjaanya sebagai  seorang petani. Maka Habil pula membawa seekor kambing yang paling  disayanginya sesuai pekerjaannya sebagai pengembala. Kedua-duanya  meletakkan korban masing-masing ditempat yang disediakan .
Tidak  lama kemudian, turunlah api tanpa asap menyambar korban yang  dipersembahkan oleh Habil. Korban Qabil langsung tidak terusik dan  berada di tempatnya . Ini bererti korban Habil diterima dan Habil lah  yang benar dan dialah yang patut  berkahwin dengan Iklima . 
Keputusan dari Allah ini tidak juga membuat Qabil berasa puas malah dia semakin geram dan dendam terhadap adiknya .
Di  saat inilah iblis mula menusukkan jarumnya. Iblis mula menghasut Qabil  agar membunuh Habil dan menghapuskannya terus dari muka bumi ini.
Dengan   keputusan dari langit yang menerima korban Habil dan menolak korban  Qabil maka pudarlah harapan Qabil untuk mempersandingkan Iqlima tidak  puas dengan keputusan itu namun tidak ada jalan untuk menyoalkan. Ia  menyerah dan memerainya dengan rasa kesal dan marah sambil menaruh  dendam terhadap Habil yang akan dibunuh di kala ketiadaan ayahnya.
Ketika  Adam hendak berpergian dan meninggalkan rumah beliau mengamanahkan  rumahtangga dan keluarga kepada Qabil. Ia berpesan kepadanya agar  menjaga baik-baik ibu dan saudara-saudaranya selama ketiadaannya. Ia  berpesan pula agar kerukunan keluarga dan ketenangan rumahtangga  terpelihara baik-baik jangan sampai terjadi hal-hal yang mengeruhkan  suasana atau merosakkan hubungan kekeluargaan yang sudah akrab dan  intim.
Qabil menerima pesanan dan amanat ayahnya  dengan kesanggupan akan berusaha sekuat tenaga menyelenggarakan amanat  ayahnya dengan sebaik-baiknya dan sempurna berpergiannya akan mendapat  segala sesuatu dalam keadaan baik dan menyenangkan. Demikianlah  kata-kata dan janji yang keluar dari mulut Qabil namun dalam hatinya ia  berkata bahawa ia telah diberi kesempatan yang baik untuk melaksanakan  niat jahatnya dan melepaskan rasa dendamnya dan dengkinya terhadap Habil  saudaranya.
Tidak lama setelah Adam  meninggalkan keluarganya datanglah Qabil menemui Habil di tempat  penternakannya. Berkata ia kepada Habil: "Aku datang ke mari untuk  membunuhmu. Masanya telah tiba untuk aku lenyapkan engkau dari atas bumi  ini."
"Apa salahku?" tanya Habil. Dengan asalan apakah engkau hendak membunuhku?"
Qabil  berkata:"Ialah kerana korbanmu diterima oleh Allah sedangkan korbanku  ditolak yang bererti bahawa engkau akan mengahwini adikku Iqlima yang  cantik dan molek itu dan aku harus mengahwini adikmu yang buruk dan  tidak mempunyai gaya yang menarik itu."
Habil  berkata: "Adakah berdosa aku bahawa Allah telah menerima korbanku dan  menolak korbanmu? Tidakkah engkau telah bersetuju cara penyelesaian yang  diusulkan oleh ayah sebagaimana telah kami laksanakan? Janganlah  tergesa-gesa wahai saudaraku, mempertaruhkan hawa nafsu dan ajakan  syaitan! Kawalah perasaanmu dan fikirlah masak- masak akan akibat  perbuatanmu kelak! Ketahuilah bahawa Allah hanya menerima korban dari  orang-orang yang bertakwa yang menyerahkan dengan tulus ikhlas dari hati  yang suci dan niat yang murni. Adakah mungkin sesekali bahawa korban  yang engkau serahkan itu engkau pilihkannya dari gandummu yang telah  rosak dan busuk dan engkau berikan secara terpaksa bertentangan dengan  kehendak hatimu, sehingga ditolak oleh Allah, berlainan dengan kambing  yang aku serahkan sebagai korban yang sengaja aku pilihkan dari  perternakanku yang paling sihat dan kucintai dan ku serahkannya dengan  tulus ikhlas disertai permohonan diterimanya oleh Allah.
Renungkanlah,  wahai saudaraku kata-kataku ini dan buangkanlah niat jahatmu yang telah  dibisikkan kepadamu oleh Iblis itu, musuh yang telah menyebabkan  turunnya ayah dan ibu dari syurga dan ketahuilah bahawa jika engkau  tetap berkeras kepala hendak membunuhku, tidaklah akan aku angkat  tanganku untuk membalasmu kerana aku takut kepada Allah dan tidak akan  melakukan sesuatu yang tidak diredhainya.Aku hanya berserah diri  kepada-Nya dan kepada apa yang akan ditakdirkan bagi diriku."
Nasihat  dan kata-kata mutiara Habil itu didengar oleh Qabil namun masuk telinga  kanan keluar telinga kiri dan sekali-kali tidak sampai menyentuh lubuk  hatinya yang penuh rasa dengki, dendam dan iri hati sehingga tidak ada  tempat lagi bagi rasa damai, cinta dan kasih sayang kepada saudara  sekandungnya. Qabil yang dikendalikan oleh Iblis tidak diberinya  kesempatan untuk menoleh kebelakang mempertimbangkan kembali tindakan  jahat yang dirancangkan terhadap saudaranya, bahkan bila api dendam dan  dengkin didalam dadanya mulai akan padam dikipasinya kembali oleh Iblis  agar tetap menyala-yala dan ketika Qabil bingung tidak tahu bagaimana ia  harus membunuh Habil saudaranya, menjelmalah Iblis dengan seekor burung  yang dipukul kepalanya dengan batu sampai mati. Contoh yang diberikan  oleh Iblis itu diterapkannya atas diri Habil di kala ia tidur dengan  nyenyaknya dan jatuhlah Habil sebagai korban keganasan saudara  kandungnya sendiri dan sebagai korban pembunuhan pertama dalam sejarah  manusia.
Qabil merasa gelisah dan bingung  menghadapi mayat saudaranya.ia tidak tahu apa yang harus diperbuat  dengan tubuh saudaranya yang semakin lama semakin busuk itu.  Diletakkannyalah tubuh itu di sebuah peti yang dipikulnya seraya  mundar-mundir oleh Qabil dalam keadaan sedih melihat burung-burung  sedang berterbangan hendak menyerbu tubuh jenazah Habil yang sudah busuk  itu.
Kebingungan dan kesedihan Qabil tidak  berlangsung lama kerana ditolong oleh suatu contoh yang diberikan oleh  Tuhan kepadanya sebagaimana ia harus menguburkan jenazah saudaranya  itu.Allah s.w.t. Yang Maha Pengasih lagi Maha Bijaksana, tidak rela  melihat mayat hamba-Nya yang soleh dan tidak berdosa itu tersia-sia  demikian rupa, maka dipertunjukkanlah kepada Qabil, bagaimana seekor  burung gagak menggali tanah dengan kaki dan paruhnya, lalu menyodokkan  gagak lain yang sudah mati dalam pertarungan, ke dalam lubang yang telah  digalinya, dan menutupi kembali dengan tanah. Melihat contoh dan  pengajaran yang diberikan oleh burung gagak itu, termenunglah Qabil  sejenak lalu berkata pada dirinya sendiri: "Alangkah bodohnya aku,  tidakkah aku dapat berbuat seperti burung gagak itu dan mengikuti  caranya menguburkan mayat saudaraku ini?"
Kemudian  kembalilah Adam dari perjalanan jauhnya.Ia tidak melihat Habil di  antara putera-puterinya yang sedang berkumpul. Bertanyalah ia kepada  Qabil: "Di manakah Habil berada?Aku tidak melihatnya sejak aku pulang."
Qabil menjawab: "Entah, aku tidak tahu dia ke mana! Aku bukan hamba Habil yang harus mengikutinya ke mana saja ia pergi."
Melihat  sikap yang angkuh dan jawapan yang kasar dari Qabil, Adam dapat meneka  bahawa telah terjadi sesuatu ke atas diri Habil, puteranya yang soleh,  bertakwa dan berbakti terhadap kedua orang tuanya itu. Pada akhirnya  terbukti bahawa Habil telah mati dibunuh oleh Qabil sewaktu  peninggalannya.Ia sangat sesal di atas perbuatan Qabil yang kejam dan  ganas itu di mana rasa persaudaraan, ikatan darah dan hubungan keluarga  diketepikan sekadar untuk memenuhi hawa nafsu dan bisikan yang  menyesatkan.
Menghadapi musibah itu, Nabi Adam  hanya berpasrah kepada Allah menerimanya sebagai takdir dan kehendak-Nya  seraya mohon dikurniai kesabaran dan keteguhan iman baginya dan  kesedaran bertaubat dan beristighfar bagi puteranya Qabil. 
Al-Quran mengisahkan cerita kedua putera Nabi Adam ini dalam surah"Al- Maaidah" ayat 27 sehingga ayat 32